Friday, November 9, 2012

Down Memory Lane - Ziana Zain Unplugged Concert 96

Ziana proves her ability
Belted out 13 songs in Life Centre,KL
 
KONSERT Ziana Zain: Unplugged yang berlangsung di Life Centre, Kuala Lumpur, malam kelmarin, membuktikan keupayaan penyanyi itu mengadakan konsert solonya yang pertama. Malah, konsert itu juga secara langsung turut menampilkan peningkatan dan kematangan penyanyi itu dalam dunia muzik setelah lebih enam tahun bergelar penyanyi. Walaupun pertama kali tampil pada konsert solonya itu, Ziana dikira masih berupaya mengendalikan persembahannya. Malah penyanyi bersuara nyaring dan membawa lagu-lagu bernada tinggi itu masih mampu mengawal suaranya dengan baik ketika menyampaikan beberapa lagu seumpama itu. Pada malam itu, Ziana menyampaikan 13 lagu popularnya daripada tiga albumnya yang terdahulu termasuk sebuah lagu baru Dekat Tapi Jauh berduet bersama penyanyi popular Indonesia, Broery Marantika. Lagu itu ciptaan Johari Teh. Sepanjang persembahannya selama kira-kira dua jam di pusat hiburan itu yang memuatkan hampir 2,000 penonton, Ziana tidak putus-putus diberi tepukan gemuruh oleh para peminat setianya. Malah, mereka turut mengalunkan lagu bersama-sama penyanyi itu. Broery yang diundang khas pada malam itu turut menerima sambutan hangat daripada penonton ketika menyampaikan lagu `hits'nya ciptaan A. Riyanto, Hati Yang Terluka. Ziana diiringi oleh kira-kira 20 pemuzik profesional yang diketuai oleh Ramli MS, manakala kumpulan remaja Freshies sebagai penyanyi latarnya. Sebanyak tiga segmen ditampilkan pada malam itu. Segmen pertama dipenuhi dengan lagu-lagu yang telah menaikkan namanya dalam dunia seni iaitu Sangkar Cinta, Madah Berhelah, Kekal, Ku Cinta Padamu dan Anggapanmu. Segmen kedua menampilkan rangkaian lagu daripada album ketiganya iaitu Mimpimu Buka Mimpiku, Kemelut Di Muara Kasih, Setiaku Di Sini dan Di Sini Selamanya. Segmen ketiga diakhiri dengan nyanyian Broery Marantika iaitu Hati Yang Terluka, lagu duet Ziana dan Broery, Dekat Tapi Jauh, Korban Cinta dan Bersama Akhirnya. Pada persembahannya itu, Ziana turut menerima anugerah platinum berkembar tiga daripada album Setiaku Di Sini yang telah dijual sebanyak 150,000 unit sejak diedarkan pada Ogos tahun lalu.
 
Selain itu, konsertnya bertambah istimewa apabila dia juga mengumumkan hari jadinya. Sementara itu, pada sidang akhbar selepas konsertnya itu, Ziana menyifatkan konsertnya pada malam itu secara tidak langsung membuka peluang kepada artis lain untuk turut berani menghasilkan konsert `Unplugged' seumpama itu. Bagaimanapun, katanya, sesebuah konsert yang akan dilakukan oleh mana-mana penyanyi, bukan bersandarkan kepada nama, populariti atau berlandaskan wajah semata-mata. ``Apa yang penting ialah sama ada seseorang penyanyi itu boleh atau tidak mengadakan konsertnya berdasarkan pengalamannya sebagai artis,'' ujar Ziana. Bagaimanapun kata Ziana lagi, konsert Unpluggednya itu bukan bertujuan untuk membuktikan sama ada dia terbaik atau sebaliknya. ``Tafsiran tersebut hanya boleh dinilai oleh penonton dan bergantung kepada mereka untuk mengatakan sejauh manakah kemampuan saya ketika mengadakan persembahan pada konsert Unplugged sulung saya ini,'' ujar Ziana. Ziana Zain turut mengakui masih terdapat beberapa kelemahan yang ketara pada konsertnya malam itu terutamanya sewaktu berinteraksi dengan penonton, dari segi melakukan `gimik' kepada mereka dan kawalan suara.


 

No comments:

Post a Comment