Wednesday, November 14, 2012

Down Memory Lane - Ziana Zain's Mega Tour 1998

Utusan Malaysia,
Konsert Ziana tidak Sehebat Kos
05/10/1998


KONSERT pop Ziana Zain - Peter Stuyvesant Travel yang berlangsung malam kelmarin menyerlahkan kemantapan vokal penyanyi ini yang sememangnya sukar untuk ditandingi oleh penyanyi tempatan lain. Kelebihan penyanyi yang berusia 30 tahun ini yang memiliki vokal bernada tinggi, lantang dan bertenaga digunakan sepenuhnya oleh Ziana Zain pada persembahannya malam itu. Dia berjaya mempersembahkan lagu-lagu popularnya dengan silih berganti di antara lagu-lagu rancak dengan lagu-lagu yang berentak perlahan dengan baik dan berkesan. Malah, Ziana yang juga mempunyai kelebihan berkomunikasi berjaya berceloteh dengan para peminatnya. Dia tidak kekok untuk bergurau dan menjawab soalan-soalan mereka secara berjenaka. Justeru, konsert pada malam tersebut kalaupun tidak boleh dikatakan hebat, Ziana berjaya kerana dia menggunakan dua kelebihan yang dimiliki, vokal yang mantap dan cara berkomunikasi dengan para penonton. Mungkin sukar untuk menarik khalayak dalam sebuah konsert pop kerana muzik ini terlalu bersifat 'biasa'. Jarang terdapat lagu yang membenarkan para penonton untuk bangun menari atau sekadar menggoyangkan kepala mereka berbanding dengan sebuah konsert rock. Dengan jumlah kehadiran penonton sekitar 3,000 orang, konsert tersebut jika dilihat dari segi sambutannya, ia agak hambar. Walaupun Ziana mampu berceloteh dengan baik dan berjaya menyampaikan lagu dengan begitu mantap, bagaimanapun lagu-lagunya pula gagal mengajak penonton untuk bangun menari. Malah, dari awal konsert sehingga ke penghujungnya, tidak ada seorangpun penonton yang bangun menari, sebaliknya duduk bersopan di tempat duduk masing-masing.
Konsert yang dikatakan membabitkan jumlah RM4 juta itu mungkin juga tidak sehebat jumlah tersebut. Dekorasi pentasnya terlalu sederhana yang secara tidak langsung menyukarkan Ziana Zain untuk bergerak bebas. Ia bukan kesalahan Ziana kerana dia telah memberikan persembahan yang cukup baik. Malam kelmarin, Ziana yang memakai tiga persalinan telah membawakan 20 lagu-lagu popularnya yang bermula daripada album sulung sehingga ke album Puncak Kasih. Lagu-lagu tersebut ialah Ku Cinta Padamu, Madah berhelah, Riwayat Cintaku, Sangkar Cinta, Gerhana, Kemelut di Muara Kasih, Ada Cinta, Anggapanmu, Kekal, Putus Terpaksa, Kasihku Pertahankan, Satu Detik, Korban Cinta, Tiada Jodoh Antara Kita, Berpisah Jua, Kalau Mencari Teman, My Heart Will Go On, Bersama Akhirnya dan Puncak Kasih. Sebelum itu, Safura yang juga terkenal sebagai penyanyi yang bersuara lantang telah menyampaikan empat lagu termasuk Rinduku Semakin Kuat, Kala Cinta Itu Buta dan Sedalam Mana Cintamu.
Persembahan Ziana malam itu diiringi oleh pemuzik Fauzi Marzuki, Jenny Chin, Mac Chiew, Norman dan Louis Perkasa dengan iringan dua penyanyi latar. Konsert Ziana seterusnya di Tapak Pesta Sungai Nibong Pulau Pinang pada pukul 9 malam, 10 Oktober, dan Stadium tertutup Majlis Perbandaran Johor Bahru (MPJB) pada 24 Oktober, pada waktu yang sama.



No comments:

Post a Comment