Setiaku Di Sini lonjak nama Ziana
By Farihad Shalla Mahmud
Berita Harian
(26/ 10/ 2012)
Banyak sejarah yang tercipta sewaktu album ketiga Ziana Zain, Setiaku di Sini dihasilkan. Bukan sahaja mencatat rekod peribadi buat penyanyi bersuara lantang itu apabila jualannya mencatat lebih 200,000 unit, ia juga pencapaian terbaik buat penerbit album itu sendiri, Johari Teh. Album yang dihasilkan sekitar 1995 itu ialah projek pertamanya selepas bernaumg di bawah syarikat rakaman BMG. Sebelum itu, Johari bertugas di syarikat rakaman Sony Music. Memandangkan projek itu ibarat bayi sulungnya selepas bertukar tempat kerja, pastinya komposer ini ingin membuktikan sesuatu. Apabila dia ditugaskan menerbitkan album Ziana, peluang itu digunakan sepenuhnya untuk memberikan hasil terbaik buat penyanyi berkenaan dan dirinya sendiri. Kebetulan pada waktu itu, terlalu ramai artis hebat yang mewarnai industri nyanyian tanah air, sehingga membuatkan dia terpaksa bekerja keras mencari lagu yang bukan sahaja sesuai buat bintang berkenaan, malah mampu dijualsebanyak mungkin. "Album Ziana sebelum ini terjual dalam lingkungan 50,000 unit. Jadi, untuk album ketiga ini, saya cuba mencari formula terbaik supaya jualan album ini akan meningkat lagi. Bukan saja saya, Ziana juga turut tertekan kerana waktu itu ada ramai artis popular, sekaligus memberikan persaingan yang sengit. Jesteru dia kena pastikan album ini mampu menepati selera ramai. "Atas sebab itu, kami banyak berdebat sepanjang pembikinan album ini. Jika ada yang dia tak puas hati, Ziana juga akan bersuara. " Sebagai penerbit, kita dengar apa yang dikatakannya. Kalau cadangannya itu sesuai, kita ikut. Jika tidak, kita kekalkan apa yang ada," katanya kepada HIP.
Pilihan lagu diperketat
Memandangkan misi mereka cukup besar, Johari memberitahu pemilihan lagu untuk album ini dilakukan dengan sangat ketat. Hanya lagu terbaik disenarai pendek. " Kita mahu melahirkan killer album. Sebab itu tapisan ketat perlu dibuat. Ternyata usaha ini berbaloi apabila Ziana akhirnya dianugerahkan platinum berkembar empat apabila jualan album terbabit mencecah 200,000 unit. Lebih menggembirakan, kebanyakkan lagu dalam album ini disukai peminat, manakala lapan lagu Ziana layak untuk memasuki senarai pencalonan muzik-muzik pada musim itu. Bagaimanapun, Ziana terpaksa memilih 2 lagu terbaik saja, menyebabkan ada komposer berkecil hati apabila lagu mereka tidak dipilih," imbas Johari lagi. Selain berjaya menjadikan Ziana antara penyanyi hebat waktu itu, Johari juga buat kali pertama berpeluang bekerjasama dengan Datuk Ramli MS sewaktu penghasilan album itu.. Ramli ditugaskan membuat susunan muzikuntuk album Setiaku Di Sini. Antara lagu menarik yang dimuatkan dalam naskhah itu ialah Tiada Kepastian, Bersama Akhirnya, Sangkar Cinta, Kemelut Di Muara Kasih dan Setiaku Di Sini. Album bekernaan juga menampilkan komposer yang bukan calang-calang termasuk Saari Amri, Idzahar, Salman dan Zuriani.
Misteri Kulit Album
Setiaku Di Sini turut membawa tuah kepada Ziana apabila dinobatkan sebagai pemenang kategori Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Album (Wanita) pada Anugerah Industri Muzik 1996. Bagi Ziana sendiri, merakamkan album berkenaan antara detik paling indah dalam hidupnya kerana dia perlu kembali kepada muzik yang memperkenalkan dirinya di persada seni, iaitu pop. "Album pertama saya tebal dengan nuansa pop, manakala album kedua pula mempunyai sentuhan R&B. Jadi, untuk menggembalikan semula jalur pop dalam album ketiga ini memang susah. "Jesteru, saya mengharap barisan lagu yang terbaik dan Alhamdullillah, apa yang saya mahukan termakbul. Inilah Killer Album buat diri saya," katanya mengulas projek yang menelan belanjan lebih RM50,000 ringgit itu. Berbanding sampul albumnya yang terdahulu, kali ini gambarnya sedikit unik iaitu menggambarkan Ziana dengan gaun hitam tanpa lengan, duduk santai di sebuah sofa. Mengulas perkara itu, Ziana berkata, dia sendiri terkejut selepas melihat produk akhirnya. "Bayangkan, dua kulit album sebelum ini memaparkan gambar saya yang besar. Namun kulit album ini pula gambar saya kecil, sebesar semut. Hairan juga kenapa gambar itu dibuat sekecil itu? Tapi selepas melihat satu demi satu gambar sayadalam sampul album, barulah saya teruja kerana peminat saya pasti puas dengan semua gambar yang dihasilkan," kata Ziana.
Pencapaian Album:
- Menerima Platinum Berkembar Empat untuk jualan melebihi 200,000 unit
- Lagu Bersama Akhirnya memenangi lagu terbaik di 5th Festival Music Voice of Asia, Kazakhstan
- Lagu Bersama akhirnya juga telah dipilih sebagai persembahan terbaik di Pertandingan Pujaan Hits 10 Nescafe 1996
- Memengani Vokal Terbaik di Dalam Album di Anugerah Industri Muzik 1996
No comments:
Post a Comment