Utusan Malaysia
Nazrullah Rosli
Ziana Zain - Persembahan Masih Menarik
14/08/2001

Ziana ada cara mendekati peminatnya apabila lebih kerap berinteraksi petah dengan mereka. Ia dianggap sesuatu yang baik bagi seseorang penyanyi yang bergelar penghibur.
Cuma keterbawaan caranya menjejaskan sedikit konsentrasi persembahannya kerana sering bertukar pakaian. Barangkali penyanyi itu ada alasan memilih suasana dan waktu yang sesuai dalam persembahannya. Bagaimanapun, kelewatannya tidak menghilangkan selera penonton walaupun konsertnya hanya bermula pada pukul 9.30 malam. Konsert selama dua malam berturut-turut itu sememangnya ditunggu peminat setia Ziana yang kali terakhir muncul dengan album pada tahun 1999.
Dan Ziana cuba membuktikan dia masih seorang penyanyi terbaik yang pernah dilahirkan dalam industri muzik tanah air. Secara jujur juga, penyanyi itu mampu memberikan apa yang dikehendaki oleh peminatnya. Ini dibuktikan dengan penguasaan vokal bernada tingginya yang masih baik. Persembahan Ziana banyak digabungkan dengan lagu-lagu pop, balada, padang pasir dan tradisional yang memberi suatu kelainan. Disulami konsep alam semula jadi dijadikan hiasan propnya yang unik, Ziana memilih lagu pembukaannya berjudul Pusaka Rimba, bersesuaian dengan tema dan konsep persembahannya yang menampilkan unsur-unsur alam.
Lagu-lagu lain ialah Fatalistik, Dengarkanlah, Puncak Kasih, Nourul Aien, Kalau Mencari Teman, Bagai Gahara, lagu-lagu medley Anggapanmu, Kemelut Di Muara Kasih dan Korban Cinta, Menadah Gerimis, Aku Cintakanmu, Lara dan sebuah lagu Inggeris That's The Way It Is. Pada konsertnya itu juga, Ziana turut mengundang dan berduet dengan adiknya, Anuar menerusi lagu Kain Pelikat. Lagu Syurga Di Hati Kita menutup tirai persembahan Ziana.
No comments:
Post a Comment