Ziana Zain masih belum puas
By Zainuri Misfar
Berita Harian
(27/03/1992)
Bagi Ziana Zain, terpilih menjadi salah seorang daripada 10 penyanyi Asia untuk projek Asia Voices tahun lalu memang membanggakan tetapi yang lebih penting sekarang, dia mahu album sulungnya - Madah Berhelah mendapat sambutan dan mampu sebaris dengan penyanyi lain yang sudah dikenali.
Bagaimanapun, dia bangga dapat mengharumkan nama negara menerusi projek Asia Voices itu, di samping meraih pengalaman untuk album terbarunya kelak. Album Asia Voices memuatkan lagu popular Jepun suatu ketika dahulu. Ziana membawakan lagu Chitose-bashi. Penyanyi lain yang terbabit ialah Raimond Choi yang membawakan lagu Dustin Hoffman; Rosanne Lui (12Bangui no carol); Boonie Lam (Kataomoi); Zann (Ikegami-sen); Chryssie (Long Version); Huang Jie Sung (Mizukagamito); Jessica Houng (Anokoro no mamani); Jiang Shi Heng (Ai no owari ni); Tito Soemarsono (Yatsusa-take) dan Odette Quesada (Tokyo). Mereka dari Singapura, Indonesia, Hong Kong, China, Filipina, Taiwan,Korea dan Jepun.
Album Asia Voices dipasarkan minggu lalu di Jepun dan setakat ini 75,000 unit sudah dijual. Mengenai lagu Chitose-bashi, Ziana berkata, kemungkinan lagu itu dimuatkan dalam album keduanya yang akan dimulakan bulan Mei ini. "Saya tidak tahu sama ada album Asia Voices akan dipasarkan di negara ini atau tidak, tetapi sudah dimaklumkan lagu Chitose-basi akan dirakamkan dalam album akan datang," katanya.
Jurucakap wakil BMG di Jepun, George Kagi berkata, artis Malaysia mempunyai potensi untuk menembusi pasaran seni suara di rantau Asia. "Pelbagai kegiatan serantau dalam bidang itu seperti Pesta Lagu Asia, Asia Bagus dan Asia Voice memberi peluang kepada artis Asia untuk menunjukkan bakat masing-masing," katanya. Misalnya, penyanyi Ziana Zain dikenal pasti mempunyai suara yang unik kerana dapat membawa lagu bernada tinggi, berbeza dengan penyanyi Jepun
yang jarang ada vokalis perempuan yang bernada tinggi. Katanya, dalam rancangan Asia Voice anjuran BMG Jepun, daripada 200 kaset yang dihantar dalam pertandingan itu, hanya sebelas yang terpilih, termasuk satu daripada Malaysia diwakili Ziana Zain. Kagi berkata, Ziana berjaya membawa lagu Jepun Chitosekashi dengan nada yang tinggi - konsep rancangan itu ialah memilih artis BMG di seluruh Asia dan memilih yang terbaik untuk dilatih sebagai artis antarabangsa.
No comments:
Post a Comment