Ziana Mahu Buktikan Keupayaan
by Zubairi Zabidin
Berita Harian
(27/09/1993)
ZIANA Zain yang terpilih ke Festival Asian Pop Queen anjuran NHK Jepun di Fukuoka dan Hiroshima, Jepun, selama tiga hari bermula 2 Oktober ini mahu membuktikan penyanyi Malaysia juga mampu menyerlah di peringkat antarabangsa. Lima penyanyi dari empat negara Asia mengambil bahagian. Selain Ziana yang mewakili Malaysia, Jepun menghantar dua artis manakala Indonesia dan Filipina seorang peserta.
Indonesia dijangka diwakili penyanyi popularnya, Hetty Koes Endang, manakala Filipina kumpulan remaja Smokey Mountain. Persembahan pertama di Fukuoka pada 2 dan 3 Oktober disiarkan secara langsung ke beberapa negara di Asia, manakala persembahan seterusnya ialah di Hiroshima pada 5 Oktober.
Pengurus Ziana, Nanee, yang mengiringi penyanyi itu berkata, mereka akan bertolak ke Jepun lebih awal iaitu esok (Selasa) untuk mengadakan latihan pesat dengan band pengiring yang disediakan penganjur. "Ziana berasa bangga kerana terpilih menyertai festival itu dan sekaligus memberi peluang kepadanya untuk mengenali dirinya dengan lebih dekat dengan peminat seni suara negara itu. "Sebelum ini lagunya dalam bahasa Jepun berjudul Chitose Bashi, dimuatkan dalam album Asian Voice yang menampilkan persembahan artis beberapa negara Asia, sudah dijual di sana.
"Peluang keemasan ini tidak akan disia-siakan oleh Ziana, di samping mahu membuktikan kepada negara luar bahawa Malaysia juga mempunyai ramai artis yang berbakat."Setiap artis diberi masa 20 minit untuk mengadakan persembahan. Ziana
akan mendendangkan tiga lagu iaitu Anggapanmu, Kucinta Padamu dan lagu
Jepun Chitose Bashi," katanya.
Mengenai persiapan itu, menurut Nanee lagi, Ziana kini menjalani latihan pesat iaitu di segi vokal dan persembahan. "Kami menyediakan seorang yang pakar di bidang koreografi untuk mengajarnya kerana di samping memerlukan suara yang baik, persembahan yang menarik juga boleh memikat penonton," katanya.
Menjawab satu soalan lain, Nanee berkata, Ziana sudah membuat persetujuan untuk membintangi filem Sembilu arahan Yusof Haslam, keluaran Skop Production. "Insya-Allah, pulang dari Jepun, barulah majlis menandatangani kontrak diadakan. Sekarang Ziana sibuk dan abang Yusof sendiri faham dengan keadaan itu dan dia memberi kebebasan kepada kami."Walaupun Ziana sudah diterima berlakon, tetapi dia terpaksa mengadakan uji bakat yang bertujuan mengetahui setakat mana kemampuan penyanyi itu di
bidang lakonan.
"Ziana sendiri tidak berkecil hati apabila dia disuruh melakukannya kerana sebagai tuan punya syarikat dan juga pengarah filem itu, Yusof berhak berbuat sedemikian," katanya.
No comments:
Post a Comment