Penyanyi Ziana Zain mengumumkan
kolaborasinya dengan jenama pakaian tempatan, Zatu Emerald sekaligus
melancarkan koleksinya sendiri, Zayyen, di Flora Terrace di ibu kota
baru-baru ini. Ziana dan pasukan kreatif Zatu Emerald
bergabung idea untuk menghasilkan koleksi pakaian kasual yang praktikal
dan sesuai dikenakan sama ada untuk ke pejabat, mahupun berliburan di
hujung minggu bersama yang tersayang. Koleksi Zayyen menghimpunkan seleksi tudung, blazer, kardigan, top, palazzo selain jumpsuit
untuk disuaipadan, bergantung kepada citarasa dan kehendak acara yang
dihadiri. Rekaan dengan potongan yang ringkas namun masih mempunyai
kelainan dari segi warna dan cara penggayaan. Ziana yang ditemui selepas peragaan
fesyen koleksi itu menyatakan keterujaannya untuk berkongsi ilham dan
minat dalam fesyen dengan pengikutnya yang telah sekian lama
tertunggu-tunggu koleksi ini menjengah pasaran. “Saya melihat koleksi ini boleh dipakai
mana-mana peringkat umur, apa jua bentuk badan, tak kira saiz badan,
mampu milik, senang dipakai dan kain yang ringan dan selesa. Itu
ciri-ciri penting yang saya tekankan untuk memberi keselesaan dan
kepuasan kepada pembeli. “Saya menyumbangkan idea dalam
penghasilan koleksi ini, manakala pasukan kreatif akan memberi pendapat
berhubung penggunaan fabrik, rekaan dan semua hal berkaitan. Mereka akan
memberi nasihat mengenai apa yang terbaik. Dari situ saya belajar
sedikit demi sedikit tentang material digunakan,” katanya. Koleksi ini dijual bermula pada julat
harga RM99 hingga RM700 kerana ada sesetengah helaian yang menggunakan
batik cantingan tangan yang dihasilkan sendiri tenaga kreatif Zatu
Emerald. Material satin crepe dan como crepe pula menjadi fabric pilihan memandangkan keselesaan dan kesesuaiannya untuk merealisasikan rekaan dimahukan. Paling mendapat perhatian adalah blazer batik gelap asimetri dengan lukisan batik geometri di bahagian depan. Cukup vibrant dalam masa sama masih formal dan elegan. Sesuai untuk wanita berlatar kerjaya korporat atau bidang kreatif, tiada batasan. Koleksi ini boleh dibeli secara dalam talian menerusi www.zatuemerald.com ataupun menjengah ke laman Instagram rasmi mereka, @zatuemeraldofficial. Untuk sementara waktu, sebahagian koleksi perlu di-pra-pesan, bergantung kepada stok dan rekaan.
No comments:
Post a Comment